Di satu kampung, tinggal seorang ibu dan anak lelakinya yang masih kecil. Si ibu mengalami kecacatan fizikal dan si anak berasa malu sekali gus kesal dengan keadaan fizikal ibunya. Kerana kecacatan ibunya, dia selalu menjadi buah mulut teman-temannya di sekolah bahkan dalam kalangan masyarakat. Ibunya hanya mempunyai sebelah mata. Hinggakan anak ini selalu berkata, "Lebih baik aku hidup tanpa ibu daripada aku harus malu seperti ini." Namun dengan penuh kasih sayang, ibu itu tetap menyayangi anaknya. Sayang selayaknya ibu terhadap anak . . .
Suatu malam, si anak ini terjaga dari tidurnya kerana berasa dahaga. Untuk ke dapur, dia perlu melalui bilik ibunya. Tanpa sengaja, semasa menuju ke dapur, dia melihat pintu bilik ibunya sedikit terbuka. Kemudian dia mengintip ke dalam bilik ibunya dan melihat ibunya sedang berdoa. Anak ini mendengar namanya disebut dalam doa ibunya. Tetapi anak ini berkata dalam hati, "Aku boleh hidup sendiri di luar rumah."
Masa terus berjalan seiring pertumbuhan anak itu. Si anak meningkat dewasa dan mula keluar dari rumah bagi mencari nafkah. Dalam menempuh alam kerjaya, dia berjaya. Dia juga bertemu dengan wanita pilihannya dan menikah tanpa memberitahu ibunya kerana rasa malu masih menebal. Tetapi ibunya tetap mendapat khabar daripada teman-teman anak itu.
Suatu hari, si ibu berjaya mendapatkan alamat rumah anak kesayangannya. Dia lantas ke sana bagi melepaskan rindunya terhadap anak, menantu dan cucunya. Namun setibanya di rumah anaknya, dia hanya boleh melihat mereka dari jauh sahaja.
Keadaan itu berterusan hingga si anak mengetahui ibunya sentiasa mengawasi dia dan keluarga barunya dari jauh. Akhirnya dia menemui ibunya dan memarahinya. Kerana sedih, si ibu pulang ke kampung dengan nafas yang mulai sesak kerana berjalan jauh.
Pada suatu ketika, anak itu menghadiri satu perjumpaan. Selepas itu, dia pulang ke kampungnya untuk melepaskan rindu dengan masa kecilnya dahulu. Diam-diam, anak itu datang menjenguk ke rumah ibunya dan tempat dia dibesarkan. Dia tahu pada siang hari, ibunya ke sawah untuk melihat padinya. Lalu dia masuk ke dalam rumah perlahan-lahan sambil memerhati keadaan rumah.
Dia mendapatkan posisi di pintu bilik ibunya sepertimana malam itu. Kemudian membayangkan masa kecilnya sewaktu mengintip ibunya berdoa di bilik. Tiba-tiba, dia tergerak hati untuk masuk ke bilik ibunya. Si anak melihat susuk tubuh ibunya dalam keadaan bersujud.
Melihatkan ibunya kaku, dia cuba memanggil ibunya. Tetapi panggilan tidak berjawab. Dia memegang tubuh ibunya. Pada masa itu, dia mendapati ibunya tidak bernyawa lagi. Dia terlihat di tangan ibunya terdapat sekeping kertas. Kemudian anak itu pun mengambil kertas itu dan membukanya. Ia adalah surat tulisan tangan ibunya. Surat itu dibaca.
Anakku, sudah cukup lama ibu hidup dan lihat kamu tumbuh membesar dan mempunyai keluarga. Ibu benar-benar meminta maaf jika selama ibu hidup, ibu membuatkan kamu berasa malu dan marah dengan fizikal ibu yang hanya mempunyai sebelah mata. Tetapi tahukah kamu, ketika kamu kecil, kamu mengalami kemalangan dan kamu kehilangan sebelah matamu? Ibu tidak dapat bayangkan bagaimana kamu membesar dengan sebelah mata sahaja. Pasti kamu akan diejek dan menjadi bahan ketawa orang. Jadi, ibu memutuskan untuk memberikan sebelah mata ibu kepadamu sehingga kamu boleh hidup normal seperti kanak-kanak yang lain. Ibu tidak menyalahkan kamu apabila kamu marah dan malu mempunyai ibu sebegini. Malah ibu bangga kamu boleh berjaya seperti sekarang ini. Pesanan ibu, jagalah anakmu baik-baik hingga dia membesar dan dewasa seperti kamu. Allah selalu bersamamu, anakku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan